Ketagih judi dalam talian, ramai tidak sedar terjerat jenayah
Langkah meningkatkan literasi media digital dalam kalangan rakyat Malaysia sangat penting
KOTA KINABALU: Dorongan rasa ingin tahu hingga membawa kepada tindakan sekadar mahu mencuba antara permulaan yang menyebabkan ramai terjebak dan seterusnya bergelumang dengan kegiatan judi dalam talian.
Kadang-kadang ada segelintir individu yang tidak menyedari khususnya komuniti alam maya yang mereka sebenarnya sudah terperangkap dalam dunia jenayah siber. Umum mengetahui aktiviti perjudian sama seperti tabiat merokok, mengambil dadah mahupun minum alkohol yang boleh membawa kepada ketagihan.
Ini bermaksud, sekali terjebak sememangnya payah untuk berhenti hingga mengakibatkan kehidupan harian terjejas dan boleh menyebabkan musnahnya masa hadapan.
Pensyarah Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, bagi membendung senario yang semakin berleluasa ini, langkah meningkatkan literasi media digital dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sangat penting.
Menurutnya, sindiket perjudian dalam talian akan menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya netizen supaya mudah terpengaruh sehingga memasuki laman sesawang yang diiklankan. Katanya, dengan memperlihatkan testimoni keuntungan luar biasa serta tarikan lain seperti menayangkan penampilan wanita yang menarik perhatian antara kaedah yang digunakan sindiket terbabit.
“Implikasinya sudah pasti kepada ekonomi atau kewangan individu dan juga ahli keluarga golongan yang terpedaya dengan tarikan sedemikian. “Malah pada tahap senario yang lebih buruk, ada yang mengalami tekanan mental hingga membawa kepada tindakan bunuh diri.
“Pelbagai implikasi sosial boleh berlaku terhadap mereka yang terdesak seperti kemungkinan memilih jalan singkat untuk melakukan jenayah,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Borneo.
Judi dalam talian begitu berleluasa
Beliau berkata, berleluasanya judi dalam talian di Malaysia mahupun di seluruh dunia semakin sukar dibendung. Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik dan bersepadu untuk membanteras kegiatan judi dalam talian.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu memastikan mereka sentiasa menambah baik kemahiran dan pengetahuan supaya lebih tinggi dan setanding dengan ejen perjudian haram, sindiket jenayah siber ataupun ‘scammer.’
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga berperanan dalam membendung penglibatan golongan pempengaruh dalam mempromosikan judi dalam talian. “Walaupun ada dalam kalangan pempengaruh mendakwa imej mereka disalahgunakan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mempromosi aktiviti perjudian dalam talian.
“Pada masa sama, masyarakat khususnya komuniti alam maya perlu sentiasa sedar dan ingat bahawa judi boleh memusnahkan kehidupan diri dan masyarakat,” tambahnya.
Selain itu Lee berkata, kerajaan juga perlu mengemas kini atau menggubal perundangan baharu untuk memastikan institusi kewangan khususnya bank supaya bertanggungjawab bersama apabila ada masyarakat yang tertipu dengan aktiviti dalam talian.
Menurutnya, institusi yang berkaitan perlu ada mekanisme kawalan yang lebih ketat ke atas transaksi kewangan yang mencurigakan. “Aktiviti judi dalam talian semakin kompleks dan ramai dalam kalangan masyarakat tidak menyedari mereka sebenarnya jatuh dalam perangkap jenayah berkenaan.
“Sebagai contoh, dalam Facebook pun kita boleh melihat kemunculan iklan-iklan perjudian ini yang membawa pengguna untuk menekan pautan laman sesawang perjudian walaupun mereka tidak berniat untuk memasuki laman terbabit.
“Ditambah lagi zaman sekarang ada pemilik kad bank atau kad kredit yang sudah sedia pautan kepada akaun bank dalam telefon masing-masing. “Justeru, tanpa sedar mereka sebenarnya membuka laluan secara tidak langsung kepada scammer atau judi dalam talian,” jelasnya.
Beliau berkata, dahulu ia memerlukan fizikal untuk mengelak terjebak ke tempat-tempat perjudian namun sekarang kegiatan terbabit mampu menembusi diri pengguna hanya menerusi platform yang diguna pakai setiap hari.
“Di situ ramai yang tidak sengaja terpengaruh sama ada selepas terlihat gambar atau video wanita cantik mahupun lelaki kacak. “Ada juga yang terpengaruh kerana keadaan diri yang sedang pasrah akibat kesempitan wang dan didorong keinginan mahu mencuba nasib untuk meraih sedikit keuntungan.
“Mungkin juga ada yang berniat sekadar suka-suka dan hanya mahu mencuba tetapi akhirnya terperangkap hingga ketagih dengan kegiatan judi dalam talian,” katanya.
Menular ke kampung
Dalam pada itu, kegiatan judi dalam talian juga semakin berleluasa kepada penglibatan orang kampung yang diketahui mempunyai sumber pendapatan rendah, namun tetap berjudi. Senario membimbangkan ini turut membawa kepada penemuan premis-premis yang menawarkan aktiviti judi dalam talian di kawasan kampung.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Razeef Rakimin berkata, kebanyakan orang kampung yang terjebak dengan judi dalam talian adalah orang susah. Menurutnya, mereka pada mulanya hanya ingin mencuba nasib dengan berjudi dan mengharapkan kemenangan.
“Mereka tidak mampu ke pusat perjudian, justeru mereka memilih berjudi dalam talian kerana mereka ingat boleh menang. “Sedangkan kita tahu sistem judi ini mula-mula mereka bagi kita menang sikit kemudian mereka kikis penjudi hingga menjadi ketagih,” katanya.
Beliau berkata, golongan penjudi menjadi ketagih kerana dua perkara iaitu pertama mereka pernah menang sedikit dan yakin akan menang lagi. Katanya, kedua mereka perlu bertaruh lagi bagi mencari kemenangan dan menggantikan kerugian akibat kekalahan lalu tanpa menyedari mereka sebenarnya ditipu.
Pada masa sama jelasnya, kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa antara punca wujudnya lambakan pusat perjudian dalam talian seperti di kawasan perkampungan. “Saya yakin dengan lambakan pusat tambah nilai judi dalam talian yang dibuka di premis-premis kecil di setiap kampung, adalah mustahil mereka tidak mengetahui perkara ini.
“Inilah yang menyebabkan timbulnya persepsi bahawa pihak berkuasa seperti polis disuap (diberi rasuah) oleh pemilik pusat perjudian ini sekali gus memberi imej buruk kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Tanggapan negatif terhadap pihak berkuasa perlu ditangkis
Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempergiatkan usaha memeriksa premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.
Tindakan menarik balik lesen, malah tindakan undang-undang harus diambil terhadap premis terbabit agar menjadi pengajaran kepada premis-premis lain, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.
Menurutnya, sebagai pihak yang sering turun padang dan terlibat dengan aktiviti masyarakat, pihaknya mengambil berat dan memberi perhatian terhadap penglibatan masyarakat terutama orang-orang kampung yang terlibat dengan judi dalam talian.
“Ada kes murid hadir ke sekolah tanpa duit belanja mahupun bekalan makanan walaupun ada antara ibu bapa kepada anak-anak ini bertugas sebagai penjawat awam. “Apabila kita selidik dengan orang kampung, orang tuanya menghabiskan duit gaji dengan perkara tidak berfaedah seperti judi dalam talian,” katanya.
Selain itu beliau berkata, berkembangnya premis tambah nilai di hampir setiap kampung membuktikan perniagaan ini mampu mengaut keuntungan yang besar. Razeef berkata, sekiranya boleh dapat keuntungan besar, sudah tentu ramai juga yang kalah besar.
Logik ini boleh difikirkan oleh kanak-kanak tapi tidak bagi mereka yang ketagih dengan judi. “Kita juga boleh lihat antara punca keganasan rumah tangga, perceraian, kemiskinan dan bunuh diri adalah kerana judi.
“Ini jelas merosakkan dan menjejaskan pembangunan masyarakat di negara ini,” jelasnya.
Kebimbangan terhadap implikasi buruk kegiatan judi dalam talian ini bukan sahaja mendapat perhatian kerajaan mahupun parti-parti politik, malah organisasi bukan kerajaan (NGO) turut memandang serius jenayah siber berkenaan.
Melindungi keluarga, masyarakat satu keperluan
Bagi Pengerusi Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia Cawangan Sabah David Chan, pihaknya sentiasa berpegang dengan pendirian untuk mengatakan tidak kepada perjudian. Katanya, masyarakat perlu melindungi keluarga dan masa depan mereka dari terjebak dengan sebarang bentuk kegiatan perjudian terutama judi dalam talian.
Pihaknya turut menyeru orang ramai agar menjauhi segala bentuk perjudian, sama ada yang sah atau haram, termasuk perjudian dalam talian.
“Perjudian adalah satu tabiat yang merosakkan, menyebabkan ramai individu mengalami masalah kewangan, kehancuran keluarga, serta terjerumus ke dalam pinjaman along dengan faedah tinggi yang sukar dibayar balik.
“Ramai keluarga menderita akibat ketagihan perjudian, kehilangan simpanan kewangan yang dikumpul dengan bersusah payah, serta terpaksa berhutang untuk menanggung kerugian. “Ada yang terpaksa meminjam daripada ceti haram, lalu berdepan dengan ugutan dan tekanan apabila tidak mampu melunaskan bayaran,” katanya.
Beliau berkata, beban emosi dan kewangan yang berlaku sering menyebabkan pergaduhan, perpecahan keluarga dan kejatuhan ekonomi individu. Namun apa yang lebih membimbangkan jelasnya, perjudian dalam talian sukar dikawal oleh pihak berkuasa disebabkan akses Internet yang tidak terbatas.
Sehubungan itu beliau berkata, keadaan itu menjadikan aktiviti judi dalam talian lebih berbahaya kerana ramai yang terjebak tanpa menyedari kesan buruknya. “Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesejahteraan keluarga dan kestabilan kewangan.
“Daripada berjudi, pilihlah aktiviti yang sihat dan bermanfaat yang dapat membina kehidupan lebih baik, mengukuhkan hubungan kekeluargaan, dan menjamin masa depan yang lebih stabil,” katanya.
David turut menegaskan sebelum terjebak dan terjejas hidup dalam kancah perjudian, setiap orang perlu memikirkan nasib keluarga tersayang dan lindungi masa depan dengan mengatakan tidak kepada perjudian.
Bahaya normalisasi ketagihan judi dalam talian
Sementara itu, kakitangan swasta Nurhafizah Yusof berpendapat, judi dalam talian bukan sekadar satu bentuk hiburan yang berkembang pesat, tetapi juga satu wabak sosial yang menjerut masyarakat dalam kitaran hutang, ketagihan, dan kejatuhan moral yang berpanjangan.
Menurutnya, jika kegiatan terbabit tidak dibendung secara menyeluruh, implikasi jangka panjangnya jauh lebih dahsyat. Katanya, dari sekadar kehilangan wang, ia menyentuh aspek pembangunan insan, ekonomi, dan kestabilan sosial secara menyeluruh.
“Pertama, normalisasi ketagihan dan budaya mudah kaya. Tanpa kawalan ketat, generasi akan datang melihat judi sebagai jalan pintas mencapai kemewahan, bukan melalui usaha dan kerja keras.
“Ini merosakkan nilai asas dalam pembentukan masyarakat yang berdaya saing dan berdikari. “Kedua, runtuhnya institusi keluarga di mana ketagihan judi sering kali menjadi punca perpecahan rumahtangga, keganasan domestik dan tekanan mental.
“Ahli keluarga terpaksa menanggung beban kewangan akibat hutang yang melambung, sementara anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang tidak stabil,” jelasnya.
Beliau berkata, ketiga adalah implikasi ekonomi yang serius.
“Wang yang sepatutnya menggerakkan sektor produktif akhirnya bocor ke industri haram, memperkayakan sindiket dan merugikan masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, hutang judi juga sering kali menjadi punca jenayah seperti penipuan, pecah amanah, dan pinjaman along hingga menjerat rakyat dalam lingkaran kewangan yang gelap.
Namun jelasnya, aspek yang paling merisaukan adalah hakisan jati diri dan integriti masyarakat. “Judi dalam talian sering dikaitkan dengan eksploitasi teknologi, mempercepatkan kemerosotan nilai moral dan akhlak.
“Ia bukan sekadar mengenai kehilangan wang, tetapi kehilangan prinsip, harga diri, dan hala tuju dalam kehidupan.
“Sebagai sebuah masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu bersikap lebih proaktif dalam menangani isu ini dan bukan sekadar dari sudut penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga pendidikan dan kesedaran.
“Membendung judi dalam talian bukan hanya tugas kerajaan atau pihak berkuasa, tetapi tanggungjawab bersama dalam membina masa depan yang lebih stabil, sejahtera, dan bermaruah,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan atau pihak berkuasa perlu melancarkan kempen kesedaran seperti kempen anti-judi dalam talian di peringkat institusi pendidikan seperti sekolah.
“Tanpa ragu-ragu pihak ia perlu dilaksanakan dengan segera dan berterusan. Ini kerana, apabila pelajar sekolah yang masih dalam fasa pembentukan minda dan jati diri mula terjebak dalam kegiatan judi, ini bukan sekadar masalah disiplin, tetapi ancaman kepada masa depan negara.
“Kempen antijudi dalam talian di institusi pendidikan bukan sekadar soal memberi kesedaran, tetapi membentuk ketahanan mental dan moral dalam kalangan generasi muda. “Mereka perlu memahami bahawa perjudian bukan sekadar ‘cuba nasib’, tetapi satu perangkap yang boleh menghancurkan kehidupan mereka sebelum sempat bermula,” jelasnya.
Nurhafizah berkata, pertama ia melibatkan pendidikan awal membina daya tahan.
Menurutnya, dalam dunia digital yang semakin sukar dikawal, pendedahan kepada judi dalam talian berlaku lebih awal daripada yang dijangka. Katanya, remaja yang terpengaruh dengan budaya ini sering kali melihatnya sebagai hiburan atau cara mudah mendapatkan wang saku.
“Justeru, tanpa intervensi pendidikan, mereka akan terperangkap sebelum sempat menyedari bahayanya.
“Aspek kedua adalah memutuskan rantaian eksploitasi teknologi.
“Judi dalam talian bukan sekadar permainan individu, ia adalah sebahagian daripada sindiket yang sengaja menyasarkan golongan muda melalui media sosial, iklan yang menyamar sebagai permainan mudah alih, dan sistem ganjaran yang bersifat ketagihan.
“Dengan adanya kempen di peringkat sekolah, pelajar dapat mengenal pasti strategi manipulasi ini dan mengelakkan diri dari menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu juga menanam nilai tanggungjawab dan keusahawanan sebenar.
Menurutnya, jika golongan muda ini memahami sejak awal bahawa kekayaan bukan sesuatu yang diperjudikan, tetapi dibina dengan ilmu dan usaha, mereka akan lebih bersedia menghadapi dunia yang penuh dengan godaan jalan pintas.
Katanya, pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi membentuk sahsiah dan pemikiran yang kritis.
“Namun, kempen antijudi dalam talian ini tidak boleh hanya berbentuk ceramah berkala semata-mata.
“Ia perlu menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan kewangan dan teknologi, melibatkan aktiviti interaktif, simulasi kesan ketagihan, serta pendedahan kepada kisah benar tentang individu yang terjerumus dalam kancah ini,” katanya.
Tambahnya, membanteras judi dalam talian dalam kalangan remaja bukan hanya tentang melindungi mereka hari ini, tetapi memastikan mereka membesar sebagai individu yang bebas daripada belenggu ketagihan dan eksploitasi teknologi.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan dan masyarakat mengambil langkah serius sekarang, ia bukan sekadar menyelamatkan generasi akan datang, tetapi juga memperkukuh asas pembangunan negara yang lebih beretika, progresif, dan bermaruah.
-Agensi



