Mahalnya Mahir

“Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad.’

Kebanyakan kita tentu biasa mendengar nasihat itu. Saya sendiri mendengarnya ketika masih budak-budak. Waktu itu saya diberitahu ia hadis Nabi SAW. Lama kemudian baru saya tahu ia sebenarnya hadis palsu.

Walaupun begitu, di sebalik kepalsuannya ia tetap membawa maksud yang baik. Frasa itu menganjurkan kita supaya jangan berhenti belajar sebaliknya hendaklah terus menerus menimba ilmu hingga ke akhir hayat.

Masalah bagi sebahagian orang adalah cenderung menganggap ilmu itu terbatas pada hal-hal akademik semata-mata. Maka mereka meletakkan siling pada pencapaian masing-masing. Sudah ada sijil, sudah ada diploma, sudah ada ijazah, sudah jadi sarjana, sudah ada PhD, maka diri pun terasa lengkap. Tidak ada apa-apa ilmu lagi yang perlu dicari.

Memang tidak ada salahnya begitu. Anda tidak akan ditangkap hanya semata-mata kerana enggan terus menimba ilmu. Sebaliknya anda mungkin dihumban ke penjara kalau mengamal atau mempelajari ilmu-ilmu yang salah. Jadi, menuntut ilmu itu bukanlah semuanya baik. Ia bergantung juga pada ilmu apa yang anda tuntut.

Skop ilmu itu luas. Terlalu luas. Tidak ada mana-mana mulut ahli politik yang boleh mengatasi keluasannya. Dan dalam dunia ‘now’ keperluan menambah ilmu menjadi tuntutan yang sangat mendesak. Itupun jika anda tidak mahu ketinggalan, dan mahu kekal relevan.

Saya masih ingat bagaimana terkebil-kebilnya seorang ketua jabatan apabila saya menyerahkan sekeping cakera padat (CD) dan memberitahu semua maklumat yang dikehendaki ada di situ. Pada sangkaannya CD (dan VCD) hanyalah untuk tujuan mendengar lagu atau menonton video.

“Saya tidak pernah tahu di dalam benda ni boleh simpan maklumat,” katanya.

Tetapi itu cerita lama. Lebih tiga dekad lepas, ketika penggunaan cakera padat sebagai tempat menyimpan data baru berkembang di negara ini. Sekarang dia – ketua jabatan itu – telah bersara dan pengetahuannya berkenaan dunia teknologi maklumat jauh lebih hebat daripada saya. Dia mempunyai beberapa buah kedai menjual dan membaiki komputer yang diuruskan oleh anak-anaknya dengan dia sendiri menjadi pakar rujuk mereka.

“Saya belajar menerusi internet, daripada Wikihow hinggalah ke Youtube. Dan saya masih terus belajar sehingga sekarang,” katanya.

Itu contoh baik. Kisah yang patut diteladani. Ia bukti jelas tentang bagaimana seorang yang berpuas hati dengan ilmu yang ada menjadi ketinggalan buat seketika sebelum bangkit dari lenanya, membetulkan silap dengan mempelajari ilmu baharu dan kemudian meletakkan dirinya seiring dengan zaman kalaupun tidak terkehadapan.

Dalam kehidupan yang kian sengit persaingannya seperti sekarang, banyak ilmu akan sentiasa menjadi bonus. Kita tidak boleh lagi bermegah dengan kelulusan akademik yang kita ada kerana banyak orang lain yang kelulusannya mungkin lebih baik daripada kita. Jika hanya itu modal kita untuk memasuki pasaran, keberangkalian untuk menggigit jari berbulan-bulan atau bertahun-tahun sentiasa ada, apatah lagi kalau kita tidak mempunyai ‘wayar’ dan ‘kabel’.

Pada kelazimannya, jika majikan mempunyai dua calon pekerja untuk mengisi satu kekosongan jawatan, dengan A hanya mempunyai kelulusan manakala B pula mempunyai kelulusan dan kemahiran, maka peluang untuk B diambil bekerja tentulah jauh lebih besar.

Atas sebab itulah selain daripada memburu kecemerlangan akademik, anak-anak harus dirangsang dan digalakkan membina kemahiran dalam bidang yang mereka minati. Itu jugalah sebabnya kenapa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi salah satu agenda utama pendidikan di kebanyakan negara di dunia sekarang ini.

Dalam satu laporan media pada 23 September 2021 Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran antara lain berkata, lebih 90 peratus graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mudah dipasarkan untuk pekerjaan.

Kenyataan itu cukup untuk memberi gambaran peri pentingnya kemahiran dalam apa juga bidang pekerjaan. Itu baru soal peluang belum lagi soal gaji kerana adalah rahsia yang diketahui umum bahawa graduan yang mempunyai kemahiran secara umumnya ditawarkan gaji yang lebih tinggi daripada yang berbekalkan kelulusan semata-mata.

Itu kalau bercakap tentang kelulusan. Bagi yang tidak berkelulusan pula kemahiran akan menjadi satu-satunya sandaran untuk kelangsungan hidup. Saya tidak pasti sijil apa yang nenek moyang saya ada, namun saya yakin kebanyakan nenek moyang kita tidak berkesempatan mengenal bangku sekolah. Tetapi kerana mereka bersedia belajar daripada persekitaran, berguru pada orang yang lebih tahu, mereka berjaya membina kemahiran dan seterusnya berjaya pula membina kehidupan.

Sejarah sarat dengan kisah imigran-imigran yang bermodalkan kemahiran dan usaha tetapi kemudian menjadi berjaya dan kaya raya di tempat orang. Semua mereka patut kita jadikan contoh.
Maka itu, siapa pun anda, setinggi mana pun kelulusan yang dimiliki, berusahalah membina sekurang-kurangnya satu kemahiran. Tidak kisahlah kalau sekadar mahir bermain TikTok…#dush!

-Om Budi