Politik Baharu Era Vuca
Suasana politik yang tidak menentu menuntut para aktivis politik bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Hanya dengan kebijaksanaan dan tidak gopoh sahaja yang boleh berhadapan dengan suasana ini.
POLITIK BAHARU ERA VUCA
‘Letak songkok pun menang.’
Itu antara ayat lazim yang kerap didengar suatu ketika dahulu. Ia bagi menggambarkan kekuatan sesebuah parti politik di sesuatu kawasan. Begitu kuat sehingga pengundi di kawasan berkenaan tidak kisah siapa calon yang diletakkan mereka tetap akan sokong.
Dan ia bukan sekadar cakap-cakap kosong. Bukan juga gimik murahan. Hakikatnya memang ada kawasan-kawasan yang sedemikian, sama ada yang dikuasai oleh parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Pernah diceritakan kepada saya tentang satu kawasan yang calonnya tidak perlu pun berkempen. Selepas penamaan calon sudah memadai jika si calon itu pusing-pusing kawasan dan lepak-lepak di kedai kopi sahaja. Dia tidak perlu risau kerana selagi bertanding atas lambang parti berkenaan selagi itu dia terjamin akan menang.
Tetapi itu cerita lama. Sejak dua pilihan raya umum yang terakhir senarionya sudah tidak sama. Parti berkenaan telah hilang penguasaan di kawasan tersebut. Dua kali parti itu kalah dan yang menang pula bukan parti yang sama; kali pertama parti A, kali kedua parti B. Ertinya kawasan tersebut tidak lagi menjadi kubu kuat mana-mana pihak, sebaliknya menjadi medan yang terbuka.
Itulah realiti politik yang kita depani sekarang. Dinamikanya tidak silu-silu lagi menampakkan wajah. Sesiapa pun hanya boleh bernostalgia tentang kekuatan partinya pada masa silam. Hari ini keadaannya berbeza, manakala esok lusa pula entah bagaimana.
Politik memang penting dalam kehidupan bermasyarakat, bernegeri dan bernegara. Tetapi politik dan parti politik adalah dua perkara yang berbeza. Seni berpolitik telah wujud sejak era Qabil dan Habil lagi, iaitu sangat lama sebelum Plato menghasilkan Republic dan Aristotle menulis Politica. Sejak itu ia terus hidup, dan berdasarkan logik, politik akan kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan selagi masih ada lebih daripada seorang manusia di muka bumi ini.
Lain halnya dengan parti politik. Parti-parti politik moden hanya muncul pada abad ke-18, bermula di England dan kemudiannya di Amerika Syarikat. Di Malaysia pula datuk nenek kita mula mengenali parti politik hanya selepas penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada Oktober 1945. Itu pun hanya sebahagian kecil kerana majoritinya tidak tahu apa-apa tentang politik atau parti politik.
Apa yang boleh difahami daripada kenyataan di atas adalah hakikat bahawa tanpa parti politik sekalipun manusia tetap boleh hidup di dunia fana ini. Demikian juga setelah ada parti politik, mereka tetap hidup. Tidak pernah pun kedengaran ada orang yang mati, lumpuh atau cacat kekal disebabkan tidak tahu nama atau tidak kenal bendera parti-parti politik. Yang hidup aman bahagia sebab tidak mempedulikan hal-hal politik memang ada, dan memang ramai.
Sebenarnya perkara itulah yang menjadi asas pemikiran manusia sekarang, khususnya generasi muda. Mereka tahu kepentingan politik dan mereka tahu peranan parti politik, namun mereka menilainya daripada sudut yang berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka tidak lagi mengikat diri dengan fahaman-fahaman tertentu, waimma yang membabitkan soal agama dan bangsa, sebaliknya lebih cenderung untuk membuat keputusan berdasarkan situasi, kehendak dan keperluan semasa. Maknanya jika nenek moyang mereka berpolitik kerana memperjuangkan kemerdekaan, mereka pula umumnya berpolitik untuk memerdekakan diri daripada ikatan-ikatan yang tidak perlu. Mereka tidak mahu bertuankan sesiapa dan mahu lepas bebas dalam membuat sesuatu keputusan.
Jadi sesiapa pun juga yang masuk ke gelanggang politik dengan berbekalkan kegemilangan silam, dengan lambang pada bendera, baju, topi, payung dan sebagainya, kecilkanlah angan-angan. Demikian juga dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang. Ia bukan jaminan akan menang.
Semua itu adalah perkara yang harus difahami dengan sedalam mungkin oleh setiap ahli politik yang mahu berjaya pada Era VUCA ini. Segala-galanya bersifat volatility (tidak stabil), uncertainty (tidak pasti), complexity (rumit) dan ambiguity (kabur). Hanya mereka yang bijak meneliti, pandai mengatur strategi dan pintar memanipulasi situasi dapat melepasi cabaran yang dibawa oleh keempat-empat nilai itu.
Jika masih dengan cara lama, bersiap sedialah untuk menjadi sejarah.
Jika masih berpegang pada ayat ‘letak songkok pun menang’, peluang untuk berputih mata memang amat cerah. Lainlah kalau letak duit dalam songkok itu…#dush!
-Om Budi



