Komedi Dan Rezeki

Saya menulis di akhbar Sinar Harian bagaimana humor dan komedi boleh menjadi punca rezeki. Di saat hidup keras, melalak dan menyalahkan pun tidak berguna. Bertindaklah.

Kegemaran saya tentulah Jamali Shadat dan Atan.

KOMEDI DAN REZEKI

Bayi akan lahir bersama tangisan.

Itu kelazimannya. Dan ramai yang mentafsirkan ia adalah manifestasi kebimbangan dan ketakutan anak yang baru lahir itu terhadap kehidupan yang bakal dilaluinya di dunia fana ini.

Tetapi mengikut kelazimannya juga, empat bulan kemudian, atau dalam kes tertentu, lima atau enam bulan selepas itu, bayi tersebut akan mula ketawa. Akan mula mengekek-ngekek.

Barangkali kesimpulan yang kita boleh buat ialah setiap bayi memulakan kehidupan ini dengan bimbang tetapi selepas mula menempuhnya baru mereka sedar bahawa hidup ini rupa-rupanya lucu. Dan sebab itu mereka pun mula ketawa.

Siapa yang bayi-bayi itu ketawakan? Adakah ibunya yang mahu anak-anak berakhlak mulia sambil dia sendiri membawang tentang saudara-mara dan jiran tetangga? Atau mungkin bapanya yang mahu melihat dia (si anak) menjadi insan yang berjaya sedangkan si bapa sendiri asyik ‘pinjam dulu seratus’?

Boleh jadi juga yang diketawakan oleh bayi itu adalah semua yang ada di sekelilingnya, daripada telefon genggam yang dibeli untuk kemudahan tetapi seringkali terpaksa ‘disenyapkan’ sehinggalah kepada orang-orang yang tanam padi tetapi kemudian kena beli beras.

Apa pun, itulah realiti. Hidup ini sebenarnya sarat dengan kelucuan. Masalahnya kita jarang fokus pada sisi itu. Yang kita tumpukan adalah soal susah dan payahnya, soal beban dan beratnya. Sebab itulah apabila orang lain berkata hidup ini keras, kita amat cepat bersetuju walaupun ketika memberi persetujuan itu kita telah berbulan-bulan melepek di rumah, memilih-milih kerja sambil bergantung pada emak ayah untuk mendapatkan duit belanja.

Kata orang ketawa itu penawar yang paling mujarab. Memanglah kenyatan itu tidak seratus peratus benar kerana jika anda ketawa saat diberitahu oleh seseorang yang anda telah terlanggar keretanya atau termenggoda isterinya, maka ketawa itu serta-merta boleh bertukar menjadi racun. Namun pada umumnya, jika pada masa dan tempat yang betul, ketawa memang boleh menjadi ubat; sekurang-kurangnya untuk meredakan ketegangan atau melupakan keresahan.

Kerana besarnya peranan ketawalah maka komedi mendapat tempat yang istimewa dalam kehidupan manusia. Sebagai sumber humor yang boleh menetaskan ketawa, komedi sentiasa perlu, dan sentiasa dialu-alu. Dan ia bukan perkara baharu. Sejak abad ke-5 Sebelum Masehi lagi pentas-pentas teater Greek Purba telah dimeriahkan dengan karya-karya satira dan humor Aristophane, seorang pengarang besar era itu yang sepanjang hayatnya menghasilkan 40 karya komedi.

Itu yang dapat dikesan oleh sejarah. Pastinya sebelum itu pun telah ada komedi, cuma tiada rekod mengenainya.

Walaupun manusia bergurau senda, berjenaka dan bergelak ketawa setiap hari, namun seperti cabang-cabang seni yang lain, pergerakan persembahan komedi agak perlahan. Di Eropah pada zaman lampau, persembahan-persembahan itu lebih berlegar di kalangan orang-orang kayangan. Orang biasa setakat jadi tukang jaga pintu dan tukang mop lantai sahaja. Di sebelah kita di sini saya tidak pasti. Yang saya tahu persembahan komedi kita bermula di pentas bangsawan sebelum diangkat ke layar perak dan diledakkan kegemilangannya oleh karya-karya almarhum Tan Sri P. Ramlee.

Sebelum sampai ke pentas bangsawan kita, persembahan komedi telah terlebih dahulu dirakyatkan di Barat. Sesiapa sahaja boleh menontonnya di dewan-dewan persembahan, kecil atau besar. Pentas-pentas itulah kemudiannya melahirkan nama-nama hebat seperti Charlie Case, Stan Laurel, Dan Leno dan juga Sir Charlie Chaplin, sang lagenda yang luar biasa pengaruhnya itu.

Di negara kita persembahan komedi biasanya dilakukan secara berkumpulan dengan gabungan dua atau tiga pelawak. Jika ada pun yang muncul secara solo seperti Datuk Jamali Shadat (Allahyarham), Mahadi dan Jalut atau Yusof Chong (Allahyarham), persembahan mereka lebih berasaskan ventriloquism dan seni meniru suara.

Hanya pada dekad-dekad kebelakangan ini kita mula menyaksikan kemunculan pelawak-pelawak solo, yang membuat persembahan bersendirian dalam apa yang diistilahkan sebagai ‘komedi berdiri’ atau ‘komediri’. Sesiapapun yang memulakannya, kredit besar harus diberikan kepada Harith Iskander yang dinggap umum sebagai “the Godfather of Stand-Up Comedy” kerana dialah yang mempopularkan persembahan itu di negara ini.

Kini komediri berkembang biak dan kerana ‘ketawa itu penawar’, saya yakin kesan tekanan hidup yang kian memualkan di sekeliling kita sekarang ini akan menyebab seni tersebut semakin subur. Apatah lagi ia telah diterima sebagai satu cabang pekerjaan baharu yang menjanjikan pulangan lumayan.

Jadi kepada anak-anak dan adik-adik yang berbakat membuat orang tertawa, dan mentertawakan orang, cubalah asah bakat itu. Daripada melawak kosong di tepi jalan, lagi baik jadikan lawak itu modal cari makan. Carilah mereka yang berpengalaman dan bergurulah. Kalau susah nak dapat guru, carilah ahli-ahli politik kerana kebanyakan mereka adalah pelawak yang hebat….#dush!

-Om Budi