Selamatkah Pekerjaan Anda?
Antara inisiatif EMAK (Egah Membangun Aspirasi Komuniti ) ialah meningkatkan kegiatan inklusif ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu. Kerana teknologi kita mesti bersedia kehilangan kerja pada bila-bila masa. Ia hujahan saya.
SELAMATKAH PEKERJAAN ANDA?
Pernahkah anda mendengar jawatan jurutrengkas, operator telegraf, pembaca pruf, pereka letak, inspektor tiket bas, penghantar telegram, pencari fail dan budak pejabat?
Mungkin pernah. Tetapi tahukah anda bagaimana mereka bekerja? Mungkin tidak.
Bagaimana dengan atendan parkir? Bilakah kali terakhir anda melihat mereka menyelitkan resit di pengelap cermin atau wiper kereta anda? Yang saya maksudkan resit parkir bukannya ‘resit’ saman oleh anggota trafik atau penguatkuasa PBT.
Dan saya pasti mereka yang berusia setengah abad ke bawah tidak tahu apa-apa tentang ‘penajam batu’. Saya pun tidak sempat melihatnya, tetapi pernah mendengar tentang adanya orang – selalunya lelaki India – yang berbasikal atau berjalan kaki dari kampung ke kampung sambil melaung-laung ‘tajam batu! Tajam batu!’ sebagai cara ‘mengiklankan’ khidmat mengasah atau menajamkan batu giling.
Apakah batu giling? Tolonglah cari sendiri jawapannya. Rajin berusaha tangga kejayaan, rajin meng’Google’ cepat tahu walaupun tidak semestinya cepat pandai.
Semua yang saya sebutkan di atas adalah sebahagian daripada pekerjaan-pekerjaan yang telah hilang ditelan zaman. Senarai sebenar cukup panjang, tetapi memadailah saya sebut sebahagian. Dalam keadaan beras mahal, manakala gula dan minyak pula susah hendak diperoleh seperti sekarang ini, ada baiknya saya tidak menambah beban pembaca.
Saya terdorong untuk menulis tentang pekerjaan yang hilang ini selepas menerima mesej menerusi WhatsApp daripada seorang kawan yang mengeluh kerana perkhidmatan menterjemah yang ditawarkannya semakin sehari semakin sendu, dan dia meminta saya mencarikan peluang-peluang baharu.
Dia yang saya kenal bukanlah seorang mudah patah semangat.
“Isteri saya sekarang ni empat kali masuk meminang baru saya dapat, bos,” dia pernah memberitahu saya begitu.
Saya juga tahu serba sedikit mengenai jatuh bangunnya dalam hidup. Daripada seorang guru bahasa dia menyertai sebuah syarikat penerbitan dan kemudian berpindah ke syarikat penerbitan lain setelah yang pertama ditutup. Penghujungnya, kira-kira sedekad lalu, dia memutuskan untuk menjadi penterjermah bebas.
Perkhidmatan yang ditawarkannya mendapat sambutan sehingga dia mampu mengupah beberapa orang penterjemah sambilan untuk membantunya. Sekadar untuk rekod: semua yang membantunya itu cantik-cantik belaka!. Hmmm…
Tetapi itu dahulu. Tahun-tahun kebelakangan ini permintaan terhadap perkhidmatannya kian menurun apabila semakin ramai beralih menggunakan aplikasi-aplikasi penterjemahan yang berasaskan
kecerdasan buatan (AI). Dan dia menjangkakan dalam tempoh empat lima tahun akan datang, tiada siapa lagi akan menggunakan khidmat penterjemah sepertinya.
Saya bersetuju. Saya juga percaya dua puluh tahun akan datang, orang akan menggeleng-gelengkan kepala jika ditanya ‘pernahkah anda mendengar jawatan penterjemah?’.
Bukan penterjemah sahaja, banyak lagi pekerjaan-pekerjaan yang ada sekarang akan menerima nasib seperti jurutrengkas, operator telegraf, pembaca pruf dan lain-lain yang saya sebutkan pada perenggan pertama artikel ini. Malah pekerjaan ‘glamour’ seperti pempengaruh pun nasibnya mungkin sama dengan ‘penajam batu’. Pada masa itu orang akan lebih tertarik pada Sophia, Asimo, Atlas, Pepper, Nao dan robot-robot manusia lain yang terhasil selepas mereka.
Satu kajian menunjukkan bahawa buat masa ini 27 peratus daripada pekerjaan sedia ada berpotensi diambil alih oleh teknologi AI. Tetapi kerana AI itu tidak statik, maka peratusan tersebut tentunya tidak akan kekal kaku di situ. Ia akan turut berkembang dan banyak pihak menjangkakan angka tersebut akan menjadi 50 peratus menjelang tahun 2050.
Itu hanya jangkaan. Kita bernasib baik jika perkembangannya agak perlahan kerana risiko kita kehilangan pekerjaan dengan sendirinya berkurang. Tetapi bagaimana kalau ia bergerak lebih pantas?
Asakan kecerdasan buatan ini menyebabkan tiada siapa boleh memberi jaminan bahawa pekerjaan yang anda lakukan sekarang ini akan selamat pada masa hadapan. Teknologi itu tidak hanya terarah pada kerja-kerja perindustrian, pentadbiran dan seumpamanya sahaja. Ia akan menerobos semua bidang. Sebab itulah penoreh sekalipun tidak boleh bersenang hati kerana suatu masa mungkin akan ada teknologi yang bukan saja boleh mengeluarkan susu getah tanpa perlu ditoreh, tetapi juga lengkap dengan data mengenai kandungan dan gred susu tersebut.
Nelayan juga mungkin berisiko terpaksa berhadapan dengan alat yang mampu memanggil ikan dan membuatnya melompat masuk terus ke dalam tong. Dan alat itu hanya mampu dimiliki oleh tauke-tauke besar.
Suka atau tidak kita harus berpesan pada diri sendiri dan pada anak cucu supaya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan itu. Asuhlah diri supaya tidak panik apabila berdepan dengannya. Yakinlah bahawa pupusnya satu peluang akan memunculkan peluang yang lain pula. Ia tertakluk pada kerajinan kita mencari atau mencipta peluang-peluang baharu tersebut.
Kenyataan ini saya tujukan kepada rakyat marhain sahaja, orang biasa macam saya, bukannya kepada orang politik. Mereka lain, pekerjaan mereka selamat kerana dalam bab ‘kecerdasan buatan’ tiada teknologi boleh mengalahkan mereka….#dush!
-Om Budi



