Jagung Pusaka Moyang
Oleh: Siti Nur Hidayah binti Abdullah
PERTEMUAN seketika di kedai makan di pinggir pantai Pasir Pandak itu tidak lama tetapi meninggalkan kesan dan lukisan makna yang amat mendalam dalam sukmaku.
Seorang lelaki tua yang menjaja jagung panggang dari meja ke meja, benar-benar mengusik ingatanku pada kenangan lalu.
Namun aku sempatkan juga membeli beberapa tongkol daripadanya. Aku pelawa rakan semeja makan bersama. Meski kutahu mereka sudah kekenyangan, namun atas kuasa beli dan desakanku, mereka makan juga. Aku tersenyum sendiri.
Yalah… aku majikan dan mereka pekerja. Tapi itu bukanlah aku yang sebenarnya. Bagiku mereka adalah sebahagian daripada hidupku. Tanpa mereka, aku tidak akan berada pada tahap ini.
Begitu juga dengan beberapa tongkol jagung itu. Sebahagian sejarah dari sisi hidupku yang amat sukar untuk kulupakan.
Sesungguhnya, aku sebenarnya tidaklah terlalu ingin mengunyah biji-biji pada tongkol jagung itu sehingga memenuhkan lagi ruang yang masih bersisa dalam perutku. Tapi tongkol-tongkol jagung itu benar mengusik tangkai hatiku. Pada kuningnya warna jagung itu, kulihat bayangan wajah insan yang kukasihi.
Matahari yang tenggelam di ufuk barat menunda hatiku ke gerbang yang lengang. Kelengangan yang menghibakan itu, berpanjangan mencengkam rongga pernafasan. Aku bagaikan dibenam resah sendu dan tersisih di sudut sepi. Dilambung di tengah gelombang laut yang menggulung, dengan sejuta kepedihan. Pengisahan semalam membuatkan jiwaku menjadi gundah. Lantasku lepaskan keluhan yang maha berat.
Aku biarkan mereka yang ada di hadapanku itu seketika. Aku mendongak memandang dada langit. Bayang matahari yang kian bergenang di kelopak awan yang seperti timbunan garam kuperhati sepi. Senja sudah dipeluk sepi dan sepi menerobos ke jendela hatiku yang terbuka luas. Namun aku masih lagi berpeluk tubuh bersama pelukan alam. Ini antara senja paling indah buatku. Berharap bukan yang terakhir.
Dan demi mengingati kembali pengisahan itu, atas nama kegilaan yang kukira tidak merasuk fikiran orang lain dan pada kerajinan kotak-katik fikirku, aku kembali terpukul. Ah! Betapa sukarnya hendak mentasdikkan pemahaman.
Aku pejamkan mata. Pada saat kucelikkan kembali mata, kulihat ibu dan ayah di hadapanku. Ayah berdiri sambil bercekak pinggang dengan wajah menyinga.
Aku faham benar kalau ayah sedang marah. Cekak pinggang ayah bagaikan cekak Hang Jebat saat mencabar Hang Tuah untuk beradu tenaga. Entah siapalah salah dan siapa pula yang benar.
Ibu? Ibu tetap duduk santun di kerusi empuk buatan Itali di ruang tamu rumah kami. Walau sopan dan santun duduk seorang Ibu. Biar empuk kerusi yang sedang ibu duduki, namun tidak mengempuk dan melembutkan hatinya.
Dan aku, sebagai anak, sekali sekala memang takut akan sergah Ibu. Apatah lagi hendak menongkat keberanian di hadapan ayah.
Namun dalam sedar yang nyata, rasa hormat kepada Ibu dan ayah lebih merajai jiwaku berbanding perasaan takut.
Akan tetapi, kejadian aneh telah melanda pada senja itu. Tidak kutemui piring makhluk asing. Apa yang kurasai hanyalah sekeping hati yang hanya mahukan aku mengikut jejak dan langkah sendiri. Aku nekad.
“Jagung! Jagung! Dan Jagung lagi!” Marah ayah.
Perkataan itu melekat di dinding hatiku. Nyeri juga kurasakan setiap kali perkataan jagung itu disebut.
“Boleh kayakah dengan hanya menanam jagung?” tanya ayah lagi.
Kasar dan tegang bunyinya.
Aku? Tetap diam juga. Masih memintal-mintal kata. Kuharap apabila bersuara kelak tidaklah ia menjadi tegang.
“Belajar tinggi-tinggi sampai ke universiti luar negara, balik-balik hendak bertanam jagung? Ayah dan ibu menghantar Haikal untuk belajar tentang perniagaan supaya dapat mewarisi perniagaan ayah dan ibu nanti. Bukannya jadi petani.” Kata ibu pula.
Keras dan tegang juga bunyinya dan disertai keluhan.
Keluhan yang kukira agak berat juga. Dalam kalangan empat orang adik-beradik. Akulah yang bongsu. Dan aku akui dalam kalangan kami empat orang adik-beradik. Akulah sukar dibentuk hati.
Stigma anak bongsu yang manja dan harus diturut setiap kemahuannya, tidak terdapat dalam kamus hidupku. Sejak kecil aku belajar mandiri.
Mungkin ini kesan daripada didikan arwah datuk dan nenek. Sejak kecil aku lebih banyak menghabiskan masa bersama mereka berbanding ayah dan ibu yang sentiasa sibuk dengan dunia perniagaan.
Dan aku… sememangnya gemar menghabiskan masa bersama arwah datuk dan nenek di kampung berbanding hidup di banglo mewah yang sunyi dan sepi tidak berpenghuni. Saudara-saudaraku tidak kurang sibuk seperti kedua orang tuaku.
Jadi setiap detik masa yang ada, aku akan pulang ke kampung. Bergelumang tanah, lumpur, becak, hujan, cacing dan baja tahi ayam. Bertanam pelbagai jenis sayur dan buah. Jagunglah antaranya.
Maka daripada datuk dan neneklah aku mengenal ilmu asas tani. Lama-kelamaan aku menjadi terlalu suka untuk bercucuk tanam, sehingga setiap kali musim cuti sekolah, hatta Sabtu dan Ahad pun aku akan pulang ke kampung.
Ayah dan ibu marah-marah juga, apabila ketika musim cuti sekolah aku lebih memilih bercuti di kampung berbanding ke luar negara. Ketika dimarahi, aku diamkan sahaja. Sudahnya aku memang ditinggalkan juga. Aku tidak menangis mahupun kecewa melainkan suka.
Cuma setelah aku menamatkan tingkatan 5 dan mendapat keputusan cemerlang, aku meminta pada ayah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia. Ayah menentang keras. Ibu menangis bagaikan hendak histeria. Aku diamkan juga dan menurut sahaja kehendak ayah agar ke luar negara, melanjutkan pelajaran dalam bidang business management.
Dengan perasaan berat kupenuhi kehendak ayah dan ibu itu. Sebelum berangkat aku sempat mengunjungi datuk dan nenek di kampung. Aku nyatakan tujuan pemergianku.
Ketika aku hendak meninggalkan rumah datuk, datuk telah menghulurkan sesuatu dalam genggamannya. Aku sambut dan pandang wajah datuk dengan kelopak mata yang bergenang-genang.
Tidakku malu jika menumpahkan air mata jantan di hadapan datukku sendiri. Hatta menghamburkan tangis yang hodoh pun aku tidak malu. Itu datukku. Datuk yang lebih memahami dan empati terhadap perasaanku.
Saat kuterima pemberian daripada tangan datuk, kudapati tujuh biji jagung yang telah kering di tapak tanganku. Dahiku berkerut dan memandang datuk buat sekian kalinya.
“Ini butir jagung pusaka moyang kita. Bawalah sebagai pusaka azimat pembakar semangat kamu di sana. Setiap butir jagung ini ada maknanya. Ingat ini, ingat datuk dan nenek di sini. ” Ucap datuk sambil menepuk-nepuk bahuku.
Datuk tenang dan senyum penuh makna. Aku pandang pula nenek yang setia berdiri di sebelah datuk. Nenek begitu juga. Angguk-angguk dan senyum.
Cuma aku sahaja yang bagaikan jagung rencat pertumbuhannya kerana diserang penyakit peronosclerospora maydis (penyakit bulai). Penyakit yang biasa menyerang tanaman jagung ketika umur jagung masih muda, iaitu antara satu hingga dua minggu setelah ditanam.
Pertumbuhan jagung akan terencat. Tiada pembentukan tongkol buah, malah ada yang tidak terbentuk, daun-daunnya akan menggulung serta terpuntir, manakala bunga jantan berubah menjadi daun masak yang berlebihan.
Begitulah perasaan yang kualami saat itu. Terencat. Akhirnya aku tiba-tiba menjadi pembingung seketika. Puas kukerah upaya fikir untuk menyelami dan memahami kata-kata datuk tapi tidak juga kutemui jawapannya.
Hendak bertanya? Aku enggan. Maka sejak hari itu aku simpan sahaja kata-kata datuk dalam kantung ingatan. Moga-moga suatu hari kelak aku akan menemui jawapannya.
“Ayah dan ibu berhabis duit untuk kamu belajar dan menjadi seorang ahli perniagaan. Paling tidak pun menjadi usahawan. Ini tidak, Haikal lebih berminat menjadi petani.” Kata-kata ibu yang bagaikan menggegar tiang banglo di rumah kami, memancung seluruh lamunanku yang panjang.
Aku kembali semula ke alam nyata. Namun wajah datuk dan nenek masih berlegar di ruang mataku.
“Haikal tidak minat bisnes, ayah, ibu. Haikal berminat untuk bertani.” Begitu jawabku antara dengar dengan tidak.
“Tanam jagung?” marah ibu lagi.
“Kalau hendak menjadi petani, lebih baik dahulu tidak usah belajar jauh-jauh. Di sini sahaja sudah cukup,” celah ayah.
“Ya, ibu. Bertani pun satu perusahaan juga. Jagung yang ditanam zaman sekarang tidak seperti dahulu. Tanam. Tuai. Rebus atau panggang kemudian makan. Tapi sekarang sudah lain ibu, ayah. Jagung boleh dikomersial sehingga ke luar negara. Pasaran dan permintaannya meluas.” Jelasku.
“Ah! Masih lagi bergelumang tanah.” Sinis bunyi kata-kata ayah.
“Jagung sekarang boleh dipelbagaikan produknya. Boleh ditinkan. Dijadikan jus atau sirap. Aiskrim. Jem. Dijadikan minyak untuk memasak dan lain-lain lagi. Haikal percaya dengan perkembangan sains dan teknologi kini, khususnya dalam bidang pertanian akan banyak membantu Haikal kelak.” Jelasku lagi.
Kata-kata ayah dan ibu tidakku endahkan.
“Baik! kalau itu yang kamu hendak lakukan. Ayah izinkan. Tapi satu perkara yang Haikal harus tahu. Ayah tidak akan membantu Haikal dengan satu sen modal pun.” Begitu tekan ayah.
Entah mengapa, kata-kata ayah menumbuhkan akar senyum di bibirku sehingga menguntumkan bunga di wajahku. Ibu kerut dahi, barangkali melihat wajahku yang tiba-tiba menjadi ceria.
“Kenapa?” akhirnya ibu bertanya juga.
“Kalau ayah dan ibu tidak mahu memberikan modal untuk Haikal tidak mengapalah. Tanah arwah datuk di kampung masih ada. Haikal akan bermula di sana. Haikal akan usahakannya sendiri. Haikal juga akan memohon pinjaman dan bantuan daripada pihak FAMA dan SME Bank. Haikal yakin mereka akan bermurah hati untuk membantu Haikal. Kalau tidak daripada aspek kewangan, baja, racun dan nasihat itulah yang biasa Haikal dengar. Apa yang penting sekarang, keizinan ayah dan ibu untuk Haikal menceburkan diri dalam bidang yang Haikal suka, itu sudah memadai. Haikal memang perlukan restu ayah dan ibu. Perkara lain tidak ada pun tidak apa.” Jawabku dengan senang hati.
“Baiklah kalau begitu kata putus dari Haikal. Ayah ulang sekali lagi. Kalau ada apa-apa masalah, Haikal jangan cari ayah dan ibu.” ujar ayah lagi dan terus meninggalkan aku di situ.
Ibu? Setianya pada ayah. Berlalu pergi juga membuntuti ayah. Maka tinggallah aku di ruang tamu yang besar, senyap dan sunyi itu.
Anehnya mindaku begitu aktif merencana sesuatu. Ini terjadi kerana sebahagian daripada bebanan fikiranku telah selesai. Kata-kata ayah dan ibu yang enggan membantu, kuanggap sebagai satu cabaran. Aku mahu membuktikan usahaku kelak membuahkan hasil.
Dan… tujuh butir jagung yang datuk berikan dahulu masih ada padaku. Hidup atau matinya kelak akan kusemai juga.
Baru kini aku sedari, apa yang hendak datuk sampaikan dahulu mudah sahaja untuk difahami. “Berbudi kepada tanah” maka akan mendapat hasilnya.
Kini sudah lebih 10 tahun aku mengusaha pelbagai produk jagung dengan jenama JPM (Jagung Pusaka Moyang) yang kian mendapat tempat di hati pengguna. Malah, jagung yang ditinkan oleh syarikatku juga berhasil menembusi pasaran ke Brunei dan Singapura.
Aku berbangga. Siapa fikir anak tempatan seperti aku, dengan hanya menanam jagung, mampu juga bersaing dengan pengusaha-usaha lain. Apa yang penting ialah usaha dan tidak mudah berputus asa. Ayah dan ibu sudah tidak marah-marah lagi. Malah mereka antara penggemar produk Jagung Pusaka Moyangku.
-DBP



